Bahkan kerosakan se­ku­rang-kurangnya satu lif di semua empat blok yang terdapat di perumahan berkenaan sudah berlarutan sejak hampir setahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di blok perumahan itu mendapati hanya satu sahaja lif yang berfungsi untuk menampung kira-kira 150 keluarga di setiap blok berkenaan.

Bayangkan jika satu keluarga mempunyai lima orang ahli ke­luarga. Bagaimana mereka dapat berdepan dengan kesesakan untuk menggunakan kemudahan awam tersebut terutama pada waktu puncak?

Apa yang lebih dikesali peng­huni adalah kerosakan lif di setiap blok itu seolah-olah tidak diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab dan dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang terlalu lama.

Sekiranya satu-satunya lif yang masih berfungsi itu rosak, sudah tentu penduduk akan berdepan dengan masalah yang lebih sukar untuk memanjat ta­ngga kediaman setinggi sembilan tingkat itu.

Walaupun banyak aduan te­lah dibuat kepada pihak pemaju namun ia seperti tidak berkesan kerana masalah itu seperti tidak dapat diselesaikan dengan baik dan sering berulang.

Difahamkan, wakil rakyat kawasan sudah beberapa kali cuba mem­bantu penduduk dengan mengadakan dialog dan menggesa pihak berwajib melakukan tindakan namun masih tidak berkesan.

Apa yang membimbangkan ada­lah jika kesemua lif mengalami kerosakan sehingga memaksa penduduk warga emas, ibu mengandung serta mereka yang mengidap semput atau penyakit jantung menggunakan tangga.

“Masalah ini berlaku tidak sampai setahun selepas kami menduduki rumah ini dan kami tidak faham mengapa proses membaikinya mengambil masa yang sangat lama. Kami berharap masalah ini dapat diatasi segera demi kebaikan semua pihak.

“Jangan sampai hingga berla­kunya perkara tidak diingini se­perti kemalangan atau kehila­ngan nyawa baru ada tindakan da­ripada pihak bertanggungja­wab,” ujar Pengerusi Persatuan Pen­duduk PPR Krubong, Mohd. Mizuan Mansor.