Menerusi operasi Op Didik yang membabitkan lima buah sekolah itu, polis turut mengeluarkan saman kepada 103 pelajar sekolah berusia antara 15 hingga 17 tahun yang menunggang dan membonceng motosikal tanpa topi keledar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, operasi bermula pukul 6.30 pagi itu bermula Selasa lalu di beberapa lokasi di Paya Rumput dan Bukit Katil, di sini.

“Sepanjang operasi selama tiga hari ini, sebanyak 91 ibu bapa atau penjaga dan 103 pelajar sekolah disaman kerana gagal memakai topi keledar.

“Keseluruhannya sebanyak 216 saman dikeluarkan termasuk beberapa kesalahan lain seperti tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, menggunakan alat telekomunikasi, melanggar lampu isyarat dan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya ketika mengetuai operasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil, di sini pagi tadi. - UTUSAN ONLINE