Wan Mohd. Ghazali NOR

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohd. Ghazali Nor berkata, masyarakat perlu memanfaatkan kemudahan itu memandangkan pihaknya sudah menyediakan kemudahan itu selaras dengan keperluan masyarakat.

“Kita bina kemudahan untuk kemudahan. Penduduk perlu ada kesedaran dan tanamkan dalam jiwa bahawa pendidikan memainkan peranan penting untuk melahirkan insan berilmu dan berguna,” katanya ketika ditemui pada program Kenduri 1Wilayah Persekutuan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di sini .

Beliau mengulas berhubung laporan Utusan Malaysia baru-baru ini berhubung budaya membaca dalam kalangan penduduk di kawasan Lembah Pantai yang masih rendah.

Ini berikutan sambutan dingin terhadap kemudahan yang dibina di tengah-tengah lokasi berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam.

Menurut Wan Mohd. Ghazali, untuk menyemarakkan lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat, pihaknya mengadakan kerjasama dengan persatuan penduduk di beberapa kawasan di Lembah Pantai itu.

“Kita maklum dan sarankan mereka supaya turun ke perpustakaan itu.

“Jadikan perpustakaan ini sebagai rumah kedua mereka dan manfaatkan apa sahaja ruang serta peluang yang ada di dalam perpustakaan itu,” katanya.

Tambah beliau, usaha berterusan tetap dilakukan oleh pihak DNKL dengan kerjasama pihak luar dalam mengadakan program pendidikan seperti kelas komputer dan tuisyen percuma.