Direncana oleh pelajar seni bina Politeknik Ungku Omar (PUO), projek tersebut membolehkan pengguna memperoleh informasi berkaitan dengan penggunaan aplikasi HP Reveal yang boleh dimuat turun dari Play Store.

Antara premis yang boleh diimbas termasuklah Muzium Ho Yan Hor di Jalan Bijeh Timah selain lokasi tumpuan pelancongan di Concubine Lane di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya menghargai usaha keras yang dilakukan oleh pelajar-pelajar PUO.

“Maklumat sedia ada akan dimasukkan ke dalam aplikasi dan hanya dengan satu perisian, kita dapat mengetahui informasi tentang sesebuah bangunan.

“Aplikasi ini akan diserahkan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai salah satu penambahbaikan maklumat sedia ada dalam Jejak Warisan Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Bandar Selamat dan International Design Festival 2019 anjuran PUO dengan kerjasama MBI di Padang Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakwan Zakaria dan Pengarah PUO, Dr. Zairon Mustapha.

Pada majlis tersebut, Kar Hing turut merasmikan lukisan mural oleh pelajar PUO di kawasan Lorong Hale di sini serta peletakan tujuh arca bertemakan ‘Ipoh: The Town That Tin Built’ selain melepaskan peserta Jejak Warisan ‘Techno Trail’.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, melalui program Bandar Selamat, lorong belakang pejalan kaki sepanjang 320 meter di Lorong Hale di sini telah dinaik taraf termasuk dari segi pencahayaan.

Beliau berkata, projek itu diharap dapat mengurangkan kadar jenayah sekali gus membolehkan penduduk bandar raya ini hidup dalam keadaan selesa dan selamat.

“Sekiranya keadaan lorong pejalan kaki sedia ada tidak diselenggara dengan baik, maka ia boleh menyebabkannya terbiar sekali gus mendatangkan persepsi takut kepada pengguna andai menjadi mangsa kepada perbuatan jenayah,” katanya. - UTUSAN ONLINE