Setiap masjid akan menerima RM36,000 untuk melaksanakan pelbagai program seperti sumbangan mikro baik pulih rumah asnaf; program agihan makanan selain untuk kegunaan masjid terbabit.

Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sumbangan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid dalam mencapai matlamat ditetapkan.

"Segala bantuan dana yang diagihkan oleh MAIPs itu hendaklah dibentang dalam mesyuarat jawatan kuasa kariah. 

"Penerima bantuan pula hendaklah dipilih secara telus tanpa sebarang salah guna kuasa, unsur kronisme dan nepotisme serta direkodkan dengan jelas untuk diaudit oleh MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

"Semua kepentingan yang tidak syarie seperti hubungan kekeluargaan, kepartian, keuntungan material dan sebagainya hendaklah diketepikan jawatan kuasa kariah yang mentadbir urus dana bantuan MAIPs yang diumumkan ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan program Liqa Qiyadi Kariah Masjid Negeri Perlis 2019 di Dewan Semarak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah JAIPs, Dr. Hazman Hassan.

Baginda turut berkenan melancarkan buku panduan menyampaikan tazkirah kematian yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti negeri sempena program tersebut.- UTUSAN ONLINE