Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, latihan itu akan dikendalikan pihak berwajib yang mempunyai kepakaran bermula esok.

“Esok kita akan cuba di 111 sekolah di Pasir Gudang untuk mengajar cara bagaimana untuk membuat laporan daripada bacaan alat pengesan gas.

“Pihak berwajib akan ke sekolah untuk mengajar guru-guru bagaimana untuk membaca kualiti udara setiap sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Mohd. Khuzzan berkata, sebaik sesi itu berjaya, semua guru berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Kalau ada apa-apa berlaku, dia (guru) akan bersedia dari segi prosedur apa perlu dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 100 sekolah sudah dibekalkan alat pengesan gas terbabit dan esok baki 11 lagi akan diserahkan.

Jelasnya, alat pengesan itu akan dibekalkan oleh 250 kilang kimia yang beroperasi di kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE