Hasil pemantauan JAS di 30 buah sekolah di dalam radius 10 kilometer di sekitar Pasir Gudang menunjukkan kualiti udara di dalam paras yang dibenarkan dan stabil.

JAS dalam satu kenyataan lewat petang ini memberitahu, pihaknya juga telah menjalankan pemantauan di lokasi-lokasi tertentu dalam lingkungan 15 kilometer radius dari kawasan kejadian dan secara keseluruhannya keputusan bagi data pemantauan kualiti udara di lokasi tersebut adalah dalam paras yang dibenarkan dan stabil.

“JAS akan terus melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan yang terjejas bagi memastikan kualiti udara adalah dalam paras yang dibenarkan bagi penduduk tempatan serta murid-murid di sekolah terbabit.

“Pemantauan kualiti udara ini juga adalah bagi memastikan kejadian pelepasan bahan toksik ke udara tidak berulang,” demikian menurut kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE