Lebih misteri, kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) , KL Sentral dan Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) itu berlarutan selama empat hari tanpa diketahui tujuan wanita tersebut berbuat demikian.

Setiap hari, wanita yang mengaku sebagai pelancong itu datang bertemu dengan kira-kira 50 pemandu teksi dan menawarkan bayaran RM50 kepada yang sanggup bergambar sambil memegang kad pengenalan atau lesen memandu.

Pemandu teksi, Zahari Harun,57, berkata, tawaran bergambar oleh wanita itu dikatakan untuk membuktikan dirinya kini berada di Kuala Lumpur kepada ahli keluarganya di Indonesia.

“Ramai kawan-kawan pemandu teksi termasuk saya sendiri bersetuju untuk bergambar dengannya kerana tidak mengesyaki apa-apa yang mencurigakan pada mulanya.

“Bagaimanapun saya mula risau apabila memikirkan ada gambar kad pengenalan saya dalam gambar bersama wanita itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pemandu teksi, Siti Aishah Ismail, 52 berkata, ekoran kejadian itu dia telah membuat laporan polis bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Kira-kira 50 orang pemandu teksi bergambar dengan wanita itu setiap hari dan setiap seorang dapat bayaran RM50 walaupun mereka terpaksa beratur panjang.

“Jika benar mahu buktikan dia berada di Malaysia kepada ahli keluarga, saya rasa cukup kalau dia pergi bergambar di Menara Berkembar Petronas (KLCC).

“Apa tujuan dia berbuat demikian masih tidak jelas. Saya risau kalau kad pengenalan saya disalahgunakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE