Persoalan itu bakal terjawab menerusi wacana intelektual dalam topik “Moratorium Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia: Wajar Atau Tidak?” yang bakal dianjurkan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (Pendapat) pada Khamis ini.

UPM dalam satu kenyataan memberitahu, wacana berkenaan akan menampilkan tiga panel, iaitu Penasihat Pendapat dan Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facitity (CTEF), Prof. Dato’ Dr. Morshidi Sirat; Naib Presiden Hal Ehwal Akademik, USCI College, Prof. Madya Dr. Chong Aik Lee dan Profesor Adjung, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN), Dr. Mohamed Ali Abdul Rahman.

Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan (JSKP), FEM, UPM, Prof. Madya Dr. Nobaya Ahmad akan mempengerusikan wacana tersebut yang diadakan di Dewan Seminar Al-Farabi, UPM bermula 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan tinggi dan meningkatkan akses rakyat ke tahap pendidikan tinggi telah mendorong penubuhan banyak IPT di negara. Mengikut statistik sehingga 31 Januari lalu, terdapat 53 universiti swasta (termasuk kampus cawangan luar negara), 38 universiti kolej (termasuk kampus cawangan luar negara) dan 350 kolej.

“Walau bagaimanapun, dengan jumlah 461 IPT termasuk 20 buah universiti awam di negara ini, ia dianggap satu jumlah melangkaui keperluan penduduk Malaysia yang kini berjumlah 32 juta orang. Selain itu, faktor kemerosotan kemasukan pelajar asing juga mengundang persoalan kewajaran penubuhan IPT baharu di negara,” kata kenyataan itu, hari ini.

Wacana tersebut terbuka kepada umum dan ia bakal menjadi platform kepada orang awam untuk memahami keperluan terhadap keseimbangan aspek kuantiti dan kualiti dalam sektor pendidikan tinggi negara berdasarkan bukti.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai wacana itu boleh mengemukakan sebarang pertanyaan kepada Dr. Mohd. Roslan Rosnon, di talian 017-2340016 dan emel : [email protected], dan Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd. Zain, di talian 019-4775440 dan emel : [email protected] dan [email protected] - UTUSAN ONLINE