Penduduk mendakwa, kerja-kerja pemasangan paip air milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi itu akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan yang sudah sedia sempit.

Seorang penduduk, Badaruddin Abd. Aziz, berkata, projek itu melibatkan laluan di Jalan Haji Zam Zam sepanjang kira-kira 300 meter dari persimpangan masuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) hingga ke tapak pembangunan Estana Court 2.

“Kami kesal kerana penduduk tidak dimaklumkan mengenai projek ini. Oleh itu kami mendesak supaya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) campur tangan untuk menghentikan projek ini serta-merta,” katanya.

Badaruddin berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia bersama kira-kira 100 orang penduduk Kampung Pasir yang membuat bantahan terhadap projek berkenaan. - UTUSAN ONLINE