Video oleh NIK HAFIZUL BAHARUDDIN

Majlis memperkenalkan laluan baharu SJ05 yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan kos berjumlah RM1.25 juta itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han.

Sze Han berkata, penambahan laluan itu bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan penduduk, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan persendirian dan mengurangkan kesesakan di jalan raya.

“Sebanyak empat buah bas disediakan untuk laluan baharu yang beroperasi sejak Februari lalu menjadikan jumlah keseluruhan Bas Smart Selangor MPSJ sebanyak 20 buah bas.

“SJ05 meliputi beberapa kawasan antaranya Taman Pinggiran Putra, Taman Equine, Taman Universiti, Taman Bukit Serdang, Kampung Seri Kembangan dan Taman Serdang Jaya sejauh 27.44 kilometer dengan kekerapan masa perjalanan selama 25 hingga 35 minit,” katanya.

Perkhidmatan bas percuma itu beroperasi setiap hari bermula dari pukul 6 pagi hingga 10 malam dan akan memulakan perjalanan di Jalan Putra Permai (Mc Donalds Taman Equine). - UTUSAN ONLINE