Rata-rata kawasan pasti ada gerai yang dipacakkan di tepi-tepi jalan untuk menarik perhatian orang ramai datang membeli.

Namun tidak kurang juga muncul peniaga ‘segera’ semata-mata mahu mengambil untung berlebihan biarpun durian yang dijual tidak elok untuk dimakan.

Tidak mahu dianggap menipu pembeli, usahawan durian dalam talian, Ezy Durian menawarkan pembelian durian tanpa kulit agar pelanggan berpuas hati apabila dapat memilih isi yang baik.

Pemilik syarikat itu, Khairul Anuar Mohamadiah berkata, durian yang diambil terus dari ladang dijual kepada pelanggan pada hari sama bagi memastikan kesegarannya.

“Kami tak jual kulit. Durian akan dikopek terlebih dahulu sebelum dijual kepada pembeli. Selain datang pilih sendiri di gudang kami di Taman Bolton, Batu Caves, kami juga membuat perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan di seluruh Lembah Klang yang akan dihantar pada hari sama jika pesanan dibuat sebelum pukul 4 petang.

“Syarikat kami beroperasi sejak empat tahun lalu dan purata jualan sekitar 1,000 kilogram (kg) setiap hari. Rata-rata pelanggan amat berpuas hati kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan serendah RM65 untuk 0.5 kg bagi durian Musang King tanpa kulit dan RM70 sekg untuk durian premium lain seperti D24, D101, udang merah, tekka dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, pihaknya turut menawarkan durian percuma kepada ibu-ibu hamil yang mengidam untuk makan durian melalui satu peraduan yang dianjurkan pihaknya setiap hari.

Katanya, konsep berkongsi rezeki itu menawarkan hadiah istimewa berkenaan kepada bakal-bakal ibu yang mana durian akan dihantar terus ke rumah mereka.

“Ibu-ibu hamil hanya perlu memberikan komen paling win dalam akaun rasmi Facebook Ezydurian, www.fb.com/ezydurian dengan menyatakan sebab-sebab kenapa anda perlu dipilih untuk diberikan 0.5 kg durian Musang King percuma,” katanya yang turut membuat promosi cendol durian Musang King hanya pada harga RM6 semangkuk. - UTUSAN ONLINE