MySAGA dibangunkan bersama antara iAC, anak syarikat Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) dan UPSI Holdings Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif iAC, Nuraslina Zainal Abidin berkata, MySAGA menawarkan ciri pengurusan kewangan menyeluruh dan menggunakan konsep kemasukan data tunggal yang membolehkan setiap transaksi dilakukan untuk meliputi semua akaun berkaitan.

“Ia mempunyai pemuka mesra pengguna yang memudahkan penggunaannya untuk pengguna perakaunan dan audit yang juga dapat menjana laporan dengan tepat dan pantas.

“Lagipun, sistem itu juga boleh diintegrasikan dengan sistem aplikasi lain, sekali gus mengurangkan masalah kesilapan data,” katanya selepas pelancaran MySAGA di sini hari ini.

iAC ialah kontraktor dan penyedia penyenggaraan teknologi maklumat dan komunikasi bagi sistem kewangan dan pengurusan perakaunan kerajaan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Berhubung prospeknya, Nuraslina berkata, iAC merancang untuk memperluas penggunaan MySAGA kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam sektor perkhidmatan di Malaysia, pada suku pertama 2020.

“Kami percaya MySAGA akan menyumbang dalam usaha untuk memperkasa ekonomi digital negara dengan sistem tempatan yang memanfaatkan bakat tempatan.

“Juga terdapat perancangan untuk memperluas sistem ini kepada agensi kerajaan Indonesia serta PKS negara itu,” katanya. -BERNAMA