Rasa tidak puas hati masyarakat pelbagai kaum itu timbul berikutan pembinaan rumah ibadat yang didakwa tidak mengikut pelan dan permohonan asal kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Lebih merungsingkan penduduk, pembinaan itu dikhuatiri akan menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan berkenaan.

Wakil penduduk, Datuk R.S Maniam berkata, bagaimana pihak Majlis Perbandaran Klang boleh meluluskan ‘pertukaran status’ bangunan itu daripada sebuah rumah persendirian menjadi sebuah tokong.

“Jelas sekali bangunan ini adalah tokong dan bukannya banglo yang dikatakan dibina untuk seseorang.

“Kami sudah rujuk dan MPK mengesahkan projek pembinaan bangunan adalah untuk rumah banglo dan bukannya tokong.

“Penduduk bimbang jika tokong ini diberi kebenaran beroperasi selama-lamanya adalah ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Maniam berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, penduduk percaya MPK sedar mengenai pertukaran status berkenaan tetapi terpaksa ‘menutup sebelah mata’ kerana projek itu mendapat sokongan Exco Kerajaan Negeri.

Katanya, pembinaan bangunan dua tingkat yang bermula pada 2018 itu telah mula beroperasi sejak beberapa minggu lalu.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Chan Koon San, 78, berkata, walaupun bangunan tersebut adalah sebuah tokong yang dibina untuk penganut Buddha tetapi pemiliknya wajib memohon kepada PBT mengikut perundangan dan bukannya bertindak sesuka hati.

“Walaupun saya sendiri seorang penganut Buddha, saya tahu ini bukan cara yang betul jika mahu bina tokong sebab kita ada peraturan yang harus dipatuhi.

“Pihak berkenaan sepatutnya berasa malu kerana telah membelakangkan undang-undang yang ditetapkan dan tidak memikirkan kepentingan umum,” katanya.

Hal sama turut dibangkitkan, Sally Chan Lee Kiang, 63, yang berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap pemilik tokong berkenaan kerana lokasinya yang terletak di kawasan perumahan.

“Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan kerana ini adalah kawasan penduduk. Kalau mahu sembahyang sekalipun, saya akan bersembahyang di tempat yang dikhususkan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati kawasan bersebelahan bangunan tersebut turut diratakan untuk dijadikan tempat letak kenderaan.

Bagaimanapun, pihak MPK dikatakan telah memasang pita untuk tidak membenarkan pembukaan ruang parkir berkenaan.