Dalam buletin dalam talian bagi terbitan Mac 2019, MIDA berkata, pada 2018 sahaja, agensi itu telah menjalankan lebih 50 program di peringkat tempatan dan luar negara.

“Kami akan terus memainkan peranan kami untuk menggalakkan dan memudahkan lagi pelaburan dalam perkhidmatan teknologi hijau,” katanya.

Menurut buletin dalam talian itu, Malaysia telah melalui peningkatan yang berterusan bagi dasar berkaitan tenaga solar, mengambil langkah penting dalam menggabungkan pendekatan yang lebih proaktif untuk menggalakkan penyertaan agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam sektor tenaga solar.

Katanya, antara inisiatif yang diambil oleh Malaysia dalam mengubah industri bekalan tenaga ke arah menggabungkan lebih banyak campuran tenaga boleh baharu termasuk pelaksanaan projek Solar Skala Besar, Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Baharu dan skim Pemeteran Tenaga Bersih. - BERNAMA