Menterinya, Anthony Loke Siew berkata, undang-undang berhubung perkhidmatan yang kini sedang dirangka itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana melibatkan pindaan beberapa undang-undang di Parlimen.

“Kami menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk berkecimpung apabila ia dibenarkan nanti dan sesiapapun yang mahu melaksanakan operasi itu mesti mengikut undang-undang berkenaan.

“Apabila ada undang-undang itu, mana-mana syarikat boleh pohon untuk beroperasi sama ada Gojek, Dego Ride atau Grab,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Pameran My Journey By Bus di RexKL, Jalan Sultan di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai berhubung perkhidmatan Gojek yang konon-kononnya mendapat kebenaran kerajaan untuk beroperasi di negara ini.

“Kabinet bukan beri kelulusan kepada Gojek tapi kabinet beri kelulusan prinsipal untuk membenarkan e-hailing motosikal atau teksi motor. Gojek hanyalah salah satu daripada syarikat seperti itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE