Lebih mendukacitakan apabila masalah itu diburukkan lagi dengan sikap segelintir manusia yang tidak tahu menghargai nikmat alam semula jadi dengan menjadikan sungai tersebut sebagai tempat pembuangan sampah.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, anak sungai yang mengalir di tengah-tengah penempatan didiami kira-kira 1,700 penduduk itu dipenuhi sampah-sarap seperti plastik, bekas makanan dan botol minuman yang dibuang oleh penduduk.

Kedudukan rumah penduduk yang terletak kira-kira lima meter dengan sungai berkenaan dipercayai menjadi punca sikap ambil mudah penduduk yang mengabaikan kemudahan tong sampah yang disediakan di setiap rumah oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain sampah domestik, sampah daripada kelengkapan rumah seperti tilam, kusyen dan perabot juga dibuang ke dalam sungai sehingga menyekat aliran air, sekali gus menjadi punca banjir kilat.

Kawasan sungai itu seolah-olah dijadikan sebagai tong sampah besar bagi mereka.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Raya, Norlisman Abu berkata, keadaan sungai itu tidak lagi seperti dahulu yang mana airnya boleh diminum, dijadikan tempat mandi-manda dan kawasan riadah penduduk sekitar.

Katanya, beliau kesal kerana aktiviti pembuangan sampah ke dalam sungai masih berlaku meskipun beberapa program kesedaran, nasihat dan gotong-royong membersihkan sungai telah dijalankan.

“Sekarang, kandungan air, sifat dan warnanya sudah berubah sama sekali sehingga mengeluarkan bau dan jika disentuh, badan akan gatal.

“Saya harap pihak berkuasa dapat menjalankan pemantauan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk,” katanya. - UTUSAN ONLINE