Para peserta Malaysia merupakan anggota Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang menyertai 5,000 sukarelawan siswa dari Ho Chi Minh City serta 50,000 sukarelawan lain dan penduduk kampung untuk menjayakan program selama sebulan itu.

Menurut Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, para peserta YSS akan melaksanakan khidmat masyarakat di empat buah kampung dalam 24 daerah terpilih untuk program itu iaitu Tan Kien Commune (daerah Binh Chanh), Thai My Commune (daerah Cu Chi), Hiep Phuoc Commune (daerah Nha Be) dan Tan Thoi Hiep Ward (daerah 12).

Menurut beliau, sukarelawan terbabit daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran itu akan menyumbang kemahiran serta tenaga mereka bagi menjayakan projek serta aktiviti yang dirangka untuk membantu penduduk tempatan.

“Ia bersesuaian dengan konsep keterangkuman YSS serta penekanan terhadap kesesuaian setiap sukarelawan untuk melaksanakan tugas yang tepat berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mereka,” katanya selepas majlis perasmian Mua He Xanh 2019 oleh Timbalan Setiausaha Ho Chi Minh City dan Pengerusi Kesatuan Belia Ho Chi Minh City, Ngu Minh Hai hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah YSS, Wan Ahmad Hazman Wan Daud; Ketua Pegawai Eksekutif YSS, Muhammad Aiman Mohd Zain dan Konsul Pendidikan Malaysia ke Vietnam, Chong Wai Kit. - UTUSAN ONLINE