Presiden Persatuan Su.Re Sihat, Shameem Ashraf berkata, jaringan kerjasama sama ada sebagai ahli persatuan atau yang bersifat sementara diharap dapat mewujudkan satu komuniti kesihatan untuk masyarakat.

“Hasrat utama penubuhan persatuan ini adalah untuk menjadi platform yang dapat menyalur maklumat dan menganjurkan program sukan dan kesihatan untuk orang ramai.

“Objektif persatuan adalah untuk menggalakkan masyarakat bersukan, meluangkan masa untuk aktiviti riadah

dan yang paling penting, menjaga kesihatan diri.

“Sebagai persatuan yang baharu bertapak, kami memerlukan penglibatan daripada banyak pihak. Sebolehnya kita mahu ahli-ahli yang berkualiti untuk mewujudkan interaksi yang baik,’’ katanya.

Shameem berkata demikian selepas pelancaran Su.Re Sihat yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, di sini, baru-baru ini.

Sempena pelancaran itu, pihaknya turut menganjurkan Palace Carnival 2019 yang menghimpunkan kira-kira 60 gerai

produk berkaitan kesihatan.

Jualan berkonsepkan bazar itu mendapat kerjasama daripada Hotel Palace of the Golden Horses dan Farm In the City

yang menyediakan zoo mini kepada pengunjung.

Shameem berkata, penganjuran karnival tersebut memberi tumpuan kepada tiga aspek sukan, rekreasi dan kesihatan.

Semenara itu, Dr. Shahruddin berkata, pelbagai aktiviti menarik sepanjang karnival itu bukan sahaja menarik minat orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat bahkan memberi pendedahan tentang pemeriksaan kesihatan.

“Saya percaya program ini akan membuahkan hasil yang baik dalam membantu warga kota menjadi masyarakat yang lebih aktif dan mengimbangi amalan sihat di tempat kerja dan juga di rumah,’’ katanya.

Pelbagai persembahan dan aktiviti diadakan sepanjang program itu antaranya pameran kereta klasik, kereta kuda,

persembahan bermain api, menunggang kuda, gerai permainan, pameran memasak, teksi air, zumba, capoeira, mewarna muka, cabutan bertuah, memanah, badut, gerai jualan, forum kesihatan dan persembahan penyanyi terkenal, Nora.