Dalam program tersebut, sebanyak 200 buku panduan solat, bungkusan makanan dan minuman serta keperluan bilik air disumbangkan kepada hampir 200 orang gelandangan dan orang ramai yang berada di sekitar ibu kota.

Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, aktiviti tersebut julung kali diadakan oleh pihaknya sempena bulan Ramadan.

Program tersebut turut mendapat sokongan Ketua Pegawai Eksekutif HQC Commerce Sdn.Bhd., Datuk Khairul Shahril Hamzah dan kakitangannya.

“Pasukan sukarelawan seramai 35 orang berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sebelum tengah malam untuk menyampaikan sumbangan.

Pogram dimulakan dengan tazkirah ringkas oleh Datuk Khairul mengenai kepentingan solat walaupun di mana sekali pun seseorang itu berada dan hidup serba kekurangan.

“Selain reda dengan garis ketentuan yang mereka alami iaitu tinggal dan tidur di tepi jalan di samping mengharap ehsan sumbangan orang ramai, kumpulan ni perlu bangkit mengubah nasib dengan mencari pekerjaan.

“Mereka tidak wajar berada di lorong-lorong untuk berteduh di sana buat selama-lamanya, ”ujarnya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden DPIM pusat berkata, selain menyampaikan sumbangan termasuk keperluan sabun mandi, berus dan ubat gigi,para sukarelawan juga berkesempatan beramah mesra dengan gelandangan.


“Kami berharap sikap ambil tahu dan prihatin kepada kumpulan yang memerlukan diteruskan.

“Program begini perlu dipergiat dan dianjurkan lebih tersusun dan melibatkan jabatan dan agensi kementerian yang terbabit agar kumpulan ini dapat dibantu terutama daripada sudut kemahiran dan peluang pekerjaan supaya mereka dapat keluar dari garis kemiskinan dan mempunyai kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE