Tiga stesen yang terlibat adalah Stesen Kuang, Rawang dan Serendah.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudi berkata, penutupan itu dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih yang melibatkan kerosakan teruk pada wayar, kabel dan landasan keretapi sepanjang 300 meter.

"Kerja-kerja pengalihan gerabak yang terbalik daripada landasan tersebut giat dijalankan bagi memastikan ia dapat dilalui semula oleh tren lain seawal Isnin ini.

"Bagaimanapun, bagi penumpang KTM Komuter dan ETS yang melalui stesen tersebut, mereka tidak perlu risau kerana pihak kami telah menyediakan kira-kira 30 buah bas dan van perantara bagi memudahkan perjalanan," katanya dalam sidang akhbat di Stesen KTM Sungai Buloh di sini.

Sebuah tren kargo dengan muatan simen tergelincir mengakibatkan landasan tunggal di antara Rawang dan Kuang terhalang sepenuhnya dalam kejadian berhampiran Stesen Rawang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.38 petang itu, tren yang dalam perjalanan dari Tasek, Perak menuju ke Sungai Buloh terbalik ketika melalui landasan di Kilometer 356.016 sekali gus menjejaskan perkhidmatan ETS, KTM Komuter dan KTM Kargo.- UTUSAN ONLINE