SME Bank dalam kenyataannya berkata, permintaan yang tinggi membolehkan pihaknya mendapatkan beberapa pelabur utama untuk menutup rundingan tersebut dengan harga kompetitif di antara mata asas 45 dan 31 melebihi bon kerajaan Malaysia dalam panduan harga rundingan pertengahan.

Katanya, IMTN tersebut mempunyai tempoh lima dan tujuh tahun dengan harga akhir antara 4.03 peratus hingga 4.10 peratus.

“Penerbitan sukuk ini telah menarik minat beberapa institusi kewangan dan syarikat pengurusan aset untuk menawarkan bidaan melebihi tiga kali ganda atau RM1.83 bilion daripada jumlah terbitan sebenar.

“Ini membuktikan keyakinan pasaran terhadap pelan transformasi digital SME Bank yang merupakan sebahagian daripada mandatnya untuk memupuk, membangunkan serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia secara menyeluruh dan berkesan seiring dengan perkembangan Industri 4.0,” katanya di sini hari ini.

Menurut SME Bank, perunding bersama bagi transaksi tersebut adalah AmInvestment Bank Berhad, Kuwait Finance House (M) Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad.

SME Bank dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan diletakkan di bawah kendalian Kementerian Pembangunan Usahawan.

Sejak penubuhannya, SME Bank telah menyediakan pelbagai bantuan pembiayaan dan pembangunan usahawan kepada usahawan dari pelbagai peringkat dari syarikat pemula sehingga ke syarikat yang telah mendominasi pasaran global. - UTUSAN ONLINE