Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata, ia bertujuan meningkatkan daya saing dan kemampanan industri pembinaan ke satu tahap lebih tinggi seterusnya mendorong syarikat terlibat lebih berdaya saing dalam menghasilkan produk pembinaan berkualiti.

Katanya, secara purata, skor yang dicapai bagi semua projek pembinaan bagi tahun 2018 adalah 74 mata berbanding 72 pada 2017.

“Saya yakin lebih banyak syarikat pembinaan akan berusaha menawarkan produk yang lebih berinovasi seterusnya memberi lebih nilai kepada bakal pembeli,” katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Qlassic 2019 di sini hari ini.

Hari Qlassic 2019 dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Terdahulu, Baru menyaksikan satu akujanji di antara CIDB dan Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dimeterai di dalam pelaksaan Qlassic untuk pembinaan projek-projek perumahan mampu milik.

“Melalui kerjasama dengan CIDB ini, KPKT akan mewajibkan pemilikan sijil Qlassic ke atas semua projek perumahan awam mahupun swasta berkuatkuasa 2020.

“Ini adalah komitmen KPKT dalam menekankan aspek kualiti dalam pelaksanan projek membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Hari Qlassic 2019 juga menyaksikan 15 pemaju, 17 kontraktor dan 18 arkitek menerima pengiktirafan Qlassic Achievement Award untuk 20 projek pembinaan bangunan yang dinilai pada 2018.

Sebanyak empat projek kerajaan yang mendapat markah tertinggi iaitu 75 dan ke atas turut menerima anugerah tersebut.

Habis.