Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualannya, Gerard Yuen berkata, kempen tersebut menampilkan lapan pelancaran mingguan secara berturut-turut sehingga April bagi memberi peluang kepada para pelanggan untuk membeli hartanah baharu yang terletak di Lembah Klang dan Johor.

Menurut beliau, pelancaran pertama adalah Serenia Adiva 2 di Serenia City di Sepang, Selangor yang dilancarkan pada 9 Mac lalu.

“Rumah dua tingkat pegangan bebas itu memiliki keluasan binaan bermula 1,874 kaki persegi dan harga bermula daripada RM596,888 sebuah. Pelancaran hartanah pegangan bebas lain termasuk Elmina Valley Five (fasa satu) di City of Elmina, Shah Alam pada 23 Mac.

“Pelancaran seterusnya melibatkan Harmoni Permai di Bandar Universiti Pagoh, Johor pada 30 Mac, Elsa di Bandar Bukit Raja, Klang (6 April) serta Elmina Valley Five (fasa dua) di City of Elmina, Shah Alam (27 April),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Yuen, antara pakej yang ditawarkan termasuk pengecualian duti setem dan rebat khas untuk orang awam serta pelanggan Prime sedia ada.

“Orang ramai dijemput untuk merebut peluang keemasan ini bagi memiliki kediaman impian Sime Darby Property bersama tawaran hebat lain,” katanya.

Sementara itu, Yuen memberitahu pihaknya turut melancarkan inovasi terbaharu yang dikenali sebagai dto pada 20 April depan.

Jelasnya, dto merupakan platform dalam talian yang dibangunkan untuk mentransformasikan pembelian hartanah pada masa depan.

“Platform dto merupakan produk terbaharu yang membolehkan pelanggan berpotensi untuk mengundi konsep pembangunan, rekaan dan kemudahan yang mereka inginkan,” ujarnya.

The Ridge merupakan residensi mewah pegangan bebas di KL East dan akan dibuka untuk pratonton pada 16 Mac. Pembangunan berkenaan menawarkan keluasan kediaman antara 651 hingga 865 kaki persegi dan harga bermula daripada RM512,000 sebuah. -UTUSAN ONLINE