Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, walaupun harga sewa seunit bazar melonjak berlipat kali ganda, permintaan tetap tinggi termasuk daripada warga asing.

Nor Hisham berkata, tindakan penyewa meraih keuntungan ‘atas angin’ melalui sewaan kepada pihak ketiga walaupun tidak dibenarkan berbuat demikian masih berlaku dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan siasatan, mengenal pasti dan akan mengambil tindakan tata tertib terhadap peniaga yang melakukan kesalahan itu.

“Ramai juga dalam kalangan mereka yang menyewakan gerai kepada orang lain untuk dapat keuntungan atas angin. Tidak mengapa, kita tunggu lepas raya baru tindakan diambil.

“Biarlah mereka beraya dulu, lepas raya saya akan panggil peniaga yang ada lesen untuk berbincang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri Komuniti 2019 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.