Ia berdasarkan kenyataan oleh Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) yang mengesahkan penurunan kutipan sisa pepejal sebanyak 9,000 tan metrik daripada 65 ribu tan sisa pada hari ke-25 Ramadan tahun lepas kepada 56 ribu tan sisa pada tempoh yang sama tahun ini di ketiga-tiga kawasan tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Zain Hassan, penurunan tersebut adalah hasil daripada kesedaran masyarakat terhadap pembaziran dan amalan pengasingan sampah di premis masing-masing.

“Walau bagaimanapun, makanan yang tidak dihabiskan atau yang tidak terjual di bazar Ramadan adalah antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan harian, selain daripada bahan pembungkusan seperti beg plastik dan pek polistirena.

“Alam Flora menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri di bazar Ramadan bagi mengurangkan pembuangan sampah di samping mengelakkan pembelian secara berlebihan yang turut boleh mengakibatkan pembaziran dan peningkatan jumlah sampah yang dibuang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

RAUB 29 NOVEMBER 2017 - Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk
MOHD. ZAIN HASSAN

Sementara itu, bagi perayaan Aidilfitri, beliau berkata, Alam Flora bersedia menambah bilangan pekerja termasuk pemandu yang terlibat dalam kerja-kerja kutipan serta pembersihan di kawasan terlibat.

“Pada hari pertama Aidilfitri sahaja, lebih 1,000 pekerja am dan pemandu terlibat dalam kerja-kerja kutipan dan pembersihan di ketiga-tiga kawasan tersebut (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang).

“Alam Flora memberikan jaminan akan terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan ini tanpa mengira waktu dan masa, namun kami memohon kerjasama semua pihak agar turut sama menjaga kebersihan di kawasan masing-masing,” katanya. - UTUSAN ONLINE