Mangsa, Kamaruddin Ismail, 70, berkata, kejadian kira-kira 9 malam itu menyebabkan dia dan isteri, Faridah Hashim, 60, serta anak mereka, Mohd. Aniza Kamarudin, 41, yang kurang upaya tidak sempat menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia berada di dalam tandas sementara isteri dan anak berada di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi dan gegaran kuat yang memusnahkan rumah mereka.

“Kami semua sangat panik kerana bekalan elektrik tiba-tiba terputus menyebabkan satu rumah bergelap. Saya yang terperangkap dalam tandas mendengar jeritan isteri yang kesakitan sambil meminta tolong.

“Syukur saya dan anak hanya cedera ringan tapi isteri mengalami cedera bahagian belakang leher akibat terkena runtuhan struktur rumah yang runtuh,” katanya ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, kejadian itu meranapkan hampir 100 peratus rumahnya dengan kerugian kira-kira RM50,000.

“Buat masa ini, saya dan keluarga diberi kebenaran untuk tinggal di dewan berhampiran rumah dan telah mendapat bantuan awal berupa keperluan makanan asas dan wang tunai daripada Jabatan kebajikan masyarakat (JKM).

“Cuma apa yang merisaukan kami sekeluarga adalah kediaman yang musnah dan memerlukan belanja besar untuk membinanya semula,” katanya. - UTUSAN ONLINE