Pada 6 petang, mata wang tempatan kekal pada 4.0890/0940 berbanding dolar AS.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, para pelabur menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS yang dijadualkan minggu depan mulai 19 hingga 20 Mac.

“Berdasarkan kontrak niaga hadapan kadar faedah, kemungkinan penurunan kadar faedah AS tinggi dan dijangka pada akhir 2019 atau awal 2020,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, wujud peningkatan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia mungkin mempertimbangkan penurunan Kadar Dasar Semalaman dalam tempoh terdekat memandangkan konsensus secara amnya menjangkakan pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) negatif pada Februari.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.6623/6671 daripada 3.6594/6648 semalam, serta lemah berbanding euro kepada 4.6287/6360 daripada 4.6259/6320.

Ringgit juga rendah berbanding pound Britain kepada 5.4220/4307 daripada 5.4200/4274 pada Khamis serta susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0197/0245 daripada 3.0162/3201. - BERNAMA