Pada pukul 9 pagi, ringgit berada di paras 4.0770/0800 berbanding 4.0760/0800 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata berasaskan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dijangka menangguhkan kenaikan kadar faedah kali ini, pelabur akan memantau perkembangan mesyuarat dasar itu bagi mendapatkan petunjuk pasaran baharu.

“Selepas Fed menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali tahun lepas, pembuat dasar dijangka menangguhkannya buat kali ini sebagai respons terhadap kelembapan ekonomi global dan turun naik saham,” katanya di sini hari ini.

Di peringkat tempatan, beliau berkata, pelabur menunggu pengumuman mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari pada 22 Mac serta sebarang petunjuk pasaran baharu daripada acara InvestKL yang akan dihadiri oleh pembuat undang-undang utama dan peserta industri global.

Ringgit juga didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6627/6664 daripada 3.6556/6602 tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.6221/6259 daripada 4.6263/6312 ketika ditutup semalam.

Ringgit juga susut berbanding pound Britain kepada 5.4065/4121 daripada 5.4015/4084 dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0173/0200 daripada 3.0152/0184 semalam. - BERNAMA