Pengarah hospital itu berkata, rawatan telah diberikan mengikut tempoh masa ditetapkan seperti terkandung dalam Piagam Pelanggan Jabatan Kecemasan dan Trauma untuk Zon Hijau itu.

“Pegawai Perubatan dari jabatan itu terlebih dahulu memeriksa pesakit sebelum melakukan apa-apa prosedur ataupun rujukan ke kepakaran lain.

“Dalam tempoh dua jam, pesakit telah diperiksa oleh Pakar Bedah Ortopedik setelah menjalani prosedur x-ray dan seterusnya diberikan rawatan dan ubatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengulas mengenai keluhan Rayzam Shah yang dimuat naik dalam Facebook miliknya sebelum disiarkan dalam sebuah portal berita hari ini.

Dalam pada itu, pihak hospital sememangnya mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang diterima sebagai kritikan membina ke arah penambahbaikan dan peningkatan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam.

Namun, pihaknya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran formal bagi mengutarakan sebarang aduan yang dialami.

“Elakkan menggunakan media sosial sebagai saluran aduan dan sebarang maklum balas boleh disalurkan ke Unit Perhubungan Awam Hospital Serdang di 03-89475555 dan emel di [email protected],” jelasnya. - UTUSAN ONLINE