Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram berkata, pengisytiharan Raub sebagai Bandar Durian Musang King itu merupakan langkah tepat dalam memastikan industri durian jenis berkenaan yang banyak di daerah ini terus berkembang.

“Pengisytiharan ini amat signifikan dengan keupayaan Raub mengeluarkan durian Musang King berkualiti tinggi yang banyak dengan kira-kira 12,000 hektar kawasan penanaman durian dikenal pasti seluruh daerah ini.

“Selaras dengan pelancaran ini, kita akan memperbanyakkan lagi aktiviti termasuk fokus kepada agropelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini,” katanya pada majlis perasmian Fiesta Buah-Buahan dan Makanan peringkat daerah di Dataran Raub, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Zamri Hasan; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mahathir Abdul Raffar dan Pengerusi Persatuan Pekebun Buah-buahan Pahang, Melissa Yap.

Abd. Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam berkata, selaras dengan pengisytiharan itu, pihaknya akan membina infrastruktur sesuai termasuk replika durian Musang King di daerah ini.

Selain itu, katanya, promosi akan terus dipergiatkan termasuk penganjuran pesta buah-buahan dari semasa ke semasa melibatkan pekebun kecil dan usahawan.

Dalam pada itu, beliau berkata, program agropelancongan berkaitan durian di daerah ini amat signifikan kerana mampu menarik minat ramai pelancong dalam dan luar negara.

“Durian Musang King Raub mendapat perhatian khususnya dari lima Wilayah di China yang sering menyaksikan kunjungan pelancong dari negara berkenaan.

“Setiap wilayah di negara China mempunyai kira-kira 50 juta penduduk justeru ia menjadi potensi agropelancongan terutama durian Musang King Raub adalah amat besar,” katanya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kewajaran pengisytiharan berkenaan beliau berkata, durian Musang King induk dari Gua Musang, Kelantan dibawa ke daerah ini untuk diubah suai dan dibenih­kan bagi menghasilkan kualiti terbaik.

“Hasil daripada pengubahsu­aian oleh pengusaha durian menghasilkan kualiti durian Musang King terbaik ditambah dengan tanah di Raub yang amat sesuai untuk penanaman raja buah itu,” ujarnya.