Laluan berkenaan projek percubaan kedua selepas Laluan T300 yang bermula pada 1 September lepas.

Seperti yang dilaksanakan untuk Laluan T300, projek eksperimen ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula 15 September ini menggunakan bas berukuran 8.9 meter panjang berbanding dengan bas 12 meter panjang yang digunakan sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, projek eksperimen Laluan T304 itu akan menggunakan lima unit bas termasuk satu bas mesra orang kurang upaya (OKU), yang dipaparkan melalui pelekat besar berwarna biru.

“Kami berharap dapat mengumpul data dan maklum balas sebanyak mungkin bagi membantu Rapid KL dalam membuat keputusan berhubung kemungkinan menggunakan bas midi untuk laluan-laluan tertentu khususnya Laluan T304 yang kami rasakan bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan lima bas dalam perkhidmatan, Laluan T304 akan mempunyai kekerapan 14 minit untuk waktu puncak dan 26 minit untuk waktu bukan puncak; berbanding dengan 20 minit untuk waktu puncak sekarang dan 30 minit untuk waktu bukan puncak.

“Nyata, penggunaan bas midi untuk laluan ini akan memberikan jangka masa menunggu yang lebih pendek untuk para penumpang.

“Dan seperti yang saya tegaskan pada pelancaran Laluan T300, projek eksperimen bas midi ini adalah untuk memantapkan kesinambungan perjalanan atau ‘connectivity’ untuk ‘first mile, last mile’.

“Dengan pemantapan ‘connectivity’ ini, Rapid KL berharap lebih ramai lagi orang ramai akan menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas,” kata Muhammad Yazurin.

Selain dua laluan ini, Muhammad Yazurin berkata, Rapid KL akan memanjangkan eksperimen ini untuk laluan-laluan strategik tempatan lain khususnya laluan-laluan yang melalui jalan-jalan sempit di kawasan-kawasan penempatan tinggi. -UTUSAN ONLINE