Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, sebagai pemberi pinjaman domestik terbesar bagi kedua-dua segmen itu, syarikat komited untuk menyokong pemilikan rumah dan pertumbuhan sektor PKS di negara ini.

Beliau berkata portfolio pinjaman rumah dan PKS bagi syarikat itu masing-masing bernilai RM110 bilion dan RM69 bilion setakat akhir 2018.

Pada tahun lepas sahaja, nilai pinjaman rumah berjumlah RM16 bilion dan PKS pula sebanyak RM11 bilion telah diluluskan, katanya semasa mesyuarat agung tahunan ke-53 syarikat itu di sini, hari ini.

Keseluruhannya, Public Bank Group mencatatkan pertumbuhan pinjaman 4.2 peratus pada 2018, disokong terutamanya oleh segmen korporat.

“Syarikat sentiasa menyasarkan untuk meningkatkan portfolio pinjaman sejajar dengan aliran industri, khususnya dalam segmen pengguna runcit dan PKS,” katanya.

Tay berkata 2019 akan menjadi tempoh yang lebih mencabar bagi operasi pihaknya, dengan syarikat mahu mempertingkat inovasi dan penggunaan teknologi.

Sepanjang tiga tahun lepas, Public Bank Group melabur kira-kira RM400 juta dalam berkaitan teknologi maklumat, termasuk RM90 juta bagi tujuan teknologi berkaitan teknologi kewangan.

“Bagi tempoh tiga tahun akan datang, kami akan memperuntuk RM600 juta bertujuan menambah baik infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi, kapasiti dan pengetahuan digital,” katanya.

Mengenai pengembangan di luar negara, syarikat itu merancang untuk membuka lapan cawangan di Vietnam tahun ini bagi memperluas kedudukan Public Bank Group di negara berkenaan.

Mengenai dasar peningkatan ganjaran, Tay berkata pihaknya sedang melaksanakan penambahbaikan ke atas bentuk dan struktur rangka kerja sedia ada.

“Ini termasuk rangka kerja ganjaran berbilang tahun untuk menilai prestasi pengurusan kanan serta pihak penilai risiko utama lain, yang juga merangkumi penangguhan dan penggantungan ganjaran serta pengubahsuaian gabungan ganjaran yang sewajarnya untuk mencerminkan penjajaran risiko,” katanya.

Syarikat ini juga menjangkakan kesan bersifat tidak ketara dan sementara ke atas keuntungan keseluruhannya sekiranya pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) dilaksanakan.

Beliau berkata impak sementara itu disebabkan tempoh bagi menetapkan semula harga ke atas deposit tetap sedia adanya.

Bagaimanapun, beliau yakin portfolio kadar tetap akan dapat mengurangkan kesan berikutan pengurangan OPR. - BERNAMA