Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn. Bhd., Datuk Najmuddin Abdullah berkata, kerja-kerja pembinaan fasa seterusnya giat dilakukan dan pihaknya sedang bekerja keras menyiapkan projek itu menjelang 2022.

Katanya, kejayaan dicapai menerusi penembusan mesin pengorek terowong (TBM) pertama di tapak pembinaan Stesen MRT Chan Sow Lin pada hari ini.

“Bahagian terowong di antara Stesen Bandar Malaysia Utara dan Stesen Chan Sow Lin telah digali menggunakan TBM pemboleh ubah ketumpatan dan mengambil masa kira-kira 11 bulan untuk menyiapkan bahagian bawah tanah sepanjang 1.9km.

“Kejayaan hari ini menandakan selesainya bahagian terowong yang pertama daripada 16 terowong yang perlu disiapkan bagi seksyen bawah tanah laluan SSP sepanjang 13.5km,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Najmuddin, penembusan TBM pertama di tapak pembinaan Stesen MRT Chan Sow Lin itu menandakan satu pencapaian penting bagi pembinaan laluan kedua projek MRT.

“Penggalian terowong telah berjalan lancar walaupun terdapat beberapa masalah disebabkan oleh keadaan geologi yang sukar,” katanya.

Tambah beliau, kerja-kerja penggalian terowong akan dijalankan pada keupayaan maksimum apabila tujuh lagi TBM dilancarkan pada tahun ini.


“Ini termasuk TBM yang digunakan untuk menggali terowong di Chan Sow Lin hari ini dan lima lagi TBM yang sedang beroperasi ketika ini. Dalam projek ini sebanyak 12 TBM akan digunakan untuk mengorek 16 bahagian terowong,” katanya.

Katanya, selepas kejayaan di Stesen Chan Sow Lin, TBM akan ditarik melintasi lantai kekotak stesen berkenaan untuk memulakan semula penggalian terowong kedua antara Stesen Chan Sow Lin dan Stesen Tun Razak Exchange.- UTUSAN ONLINE