Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming berkata, industri logistik itu telah merevolusikan teknologi baharu, yang menghasilkan bidang pertumbuhan baharu seperti e-dagang dan pasaran penghantaran peringkat terakhir.

“Memandangkan unjuran pertumbuhan dua digit e-dagang di rantau ini, Malaysia sedang mengubah landskap digital sedia adanya untuk masa depan digital yang lebih cerah.

“Malaysia menyasarkan pertumbuhan dua kali ganda e-dagang kepada 20.8 peratus menjelang 2020, daripada 11 peratus kadar gabungan pertumbuhan tahunan,” katanya dalam ucaptama pada seminar Peluang Pelaburan dalam Industri e-Penunaian di sini hari ini.

Seminar sehari inisiatif Majlis e-Perdagangan Negara itu dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan kerjasama MITI dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia.

Ong berkata kerajaan melalui MIDA memperluas skim insentif logistik dengan memperkenal insentif Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) pusingan kedua.

Ini bertujuan menggalakkan syarikat logistik mengguna pakai teknologi dalam operasi mereka dan menjadikan syarikat mereka sebagai penyedia hab e-pemenuhan serantau di Malaysia, katanya.

Dari 2017 hingga Mac tahun ini, MIDA meluluskan lapan projek e-penunaian, diengan tujuh daripada merupakan syarikat milik tempatan.

Kerajaan juga memperuntuk RM210 juta dari 2019-2021 untuk membantu sehingga 500 perusahaan kecil dan sederhana menerusi Penilaian Kesediaan Industri4, untuk memahami keupayaan dan jurang mereka, dan membolehkan firma merancang strategi untuk bergerak ke arah penyedia hab e-pemenuhan.

Ong menggesa penggiat industri logistik tempatan supaya bersiap sedia dan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang besar dengan melabur dan mengamalkan teknologi canggih, untuk mewujudkan cara baharu perniagaan, serta kos yang lebih rendah, dan pada masa yang sama meningkatkan kecekapan secara menyeluruh.

Industri logistik merupakan tulang belakang rantaian bekalan dan diperakui sebagai kunci untuk merangsang perdagangan, memudahkan kecekapan perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi, katanya.

“Memandangkan tempahan menjadi lebih rumit dengan pelbagai barangan semakin bertambah, pendigitalan akan menjadi lebih penting,” katanya.

Pada seminar itu, berlangsung acara pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIDA dan DHL Express, penyedia perkhidmatan logistik ekspres dengan rangkaian global yang merangkumi lebih 220 negara dan wilayah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata MoU itu merupakan inisiatif yang bermatlamat untuk menarik pelanggan multinasional DHL melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan, sama ada untuk penempatan semula atau memusatkan operasi serantau mereka selain untuk pengembangan perniagaan.-BERNAMA