PIVB, dalam nota penyelidikan hari ini berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) telah memberhentikan sementara pergerakan kadar Dana Persekutuan (FFR) pada 2019, satu perubahan mengejutkan daripada keputusan Fed sebelumnya untuk melaksanakan dua kali kenaikan tahun ini.

Firma penyelidikan itu berkata keputusan terdahulu dibuat dalam keadaan yang berbeza dan sebelum berlakunya persaingan perdagangan dengan China dengan keadaan menjadi rumit apabila rundingan mengambil masa yang lama daripada dijangkakan.

Fed juga telah menyemak semula jangkaan pertumbuhan ekonomi, inflasi dan pengangguran bagi 2019.

“Ia kini menyaksikan peningkatan ekonomi hanya 2.1 peratus sahaja tahun ini, jatuh dari 2.3 peratus diramalkan pada Disember dan inflasi hanya mencapai 1.8 peratus manakala kadar pengangguran kini berada pada 3.7 peratus.

“Perbelanjaan isi rumah yang rendah dan pelaburan tetap perniagaan pada suku pertama telah dikenal pasti sebagai punca kelembapan, bagaimanapun kami berpendapat penutupan pentadbiran kerajaan AS selama 35 hari pada Januari dan mengurangkan impak daripada potongan cukai dan rangsangan fiskal, juga telah menambah masalah.

“Secara keseluruhan, kekuatan dolar AS telah menjejaskan ekonomi AS, memburukkan kedudukan ketidakseimbangannya disebalik guna tenaga penuh dan kenaikan gaji,” kata PIVB.

Ia berkata prospek baharu itu akan memberi impak tinggi terhadap seluruh modal global, mata wang dan pasaran aset dengan ekonomi yang sedang pesat membangun (EME) berpeluang meraih manfaat paling banyak.

“Pemberhentian sementara FFR mungkin menjadi saluran kepada normalisasi dalam keadaan kewangan global yang telah dipengaruhi oleh langkah dasar AS.

“Ini boleh meningkatkan toleransi risiko dan mengurangkan premium risiko dalam pasaran modal EME yang telah menimbulkan kemeruapan pasaran modal. Pemberhentian sementara FFR ini boleh menimbulkan ketidaktentuan dan mendorong para pelabur untuk meneruskan pencarian di rantau ini untuk meraih keuntungan,” tambahnya.

Menurut PIVB, Malaysia mungkin menjadi pilihan, didorong oleh kadar pulangan tinggi berbanding AS, disebabkan oleh kadar faedahnya lebih tinggi dan tekanan inflasi.

Melangkah ke hadapan, petunjuk utama Malaysia akan mendapat manfaat daripada dinamik baharu ini, terutamanya rizab ringgit dan simpanan pasaran pertukaran asing (forex).

“Ringgit boleh meraih keuntungan daripada toleransi risiko lebih tinggi dalam pasaran modal sementara simpanan forex boleh mendapat manfaat dari keuntungan pada 2019, kedudukan terbalik berbanding 2018, walaupun terdapat ketidakpastian dalam risiko makroekonomi di ekonomi maju.

“Kenaikan mata wang tempatan mungkin tidak menjejaskan eksport memandangkan ringgit kompetitif pada terma yang berkesan,” katanya. - BERNAMA