Petronas berkata, program tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia bertujuan untuk mencari dan memupuk usahawan teknologi tempatan dan menaikkannya ke standard global serta membina dan mempengaruhi ekosistem permulaan yang didorong oleh teknologi di negara ini.

Katanya, Petronas telah bekerjasama dengan 500 Startups (500), sebuah syarikat modal teroka yang berpangkalan di Silicon Valley untuk memilih sehingga 20 syarikat permulaan tempatan bagi mengikuti program intensif selama lapan minggu.

“Program tersebut termasuklah syarahan, bengkel, latihan bersama mentor-mentor daripada Silicon Valley dan rangkaian global 500 serta pakar-pakar daripada perniagaan Petronas dan industri minyak dan gas.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Permohonan bagi menyertai program tersebut kini dibuka sehingga 16 September 2019 dan syarikat permulaan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di petronas.500.co. -UTUSAN ONLINE