Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab di sesebuah taman perumahan perlu memastikan juga taman permainan di kawasan itu selamat dan bebas daripada bahaya kecederaan kepada pengguna.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia di Taman Sinn, Ujong Pasir di sini mendapati, keadaan kemudahan di taman permainan kanak-kanak yang tidak di­selenggara dengan baik menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan anak mereka.

Berdasarkan pemerhatian beberapa kemudahan di situ sudah dikategorikan sangat uzur namun masih dibiarkan untuk kegunaan orang ramai .

Walaupun secara fizikalnya bahagian luar peralatan di taman permainan itu nampak baru selepas dicat, realitinya bahagian dalamnya dimakan usia.

Bukan sahaja kayu papan gelongsor di taman itu sudah mereput, besi pada pemegang jongkang-jongkit dan buaian juga didapati berkarat dan jika terus digunakan ia berpotensi menyebabkan kecederaan.

Persekitaran taman permainan itu tidak diurus dengan sempurna apabila daun-daun kering dari pokok besar berhampiran memenuhi kawasan, selain semak-samun yang tumbuh melata.

Melihat kepada rupa bentuk peralatan di taman permainan itu, ia kelihatan sangat lama dan mungkin melebihi usia 15 tahun.

Sehubungan itu, PBT perlu memainkan peranan mereka untuk memantau dan mengenal pasti taman-taman permainan uzur untuk dinaik taraf atau diganti dengan peralatan yang lebih baik dan moden.