Setiausaha akhbar kepada Menteri Pendidikan, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir berkata, penilaian Mariam itu hanya tertumpu kepada dakwaan-dakwaan bertaraf rendah mengenai prestasi Maszlee.

Kata beliau, sedangkan terdapat pelbagai usaha dan pencapaian penting telah digerakkan melalui agenda reformasi pendidikan.

“Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada Puan Mariam sedar atau tidak dengan perkara ini.

“Melaksanakan reformasi dalam universiti awam boleh disifatkan sebagai satu perjalanan panjang dan mencabar.

“Kita sendiri tahu bagaimana sektor penting ini sudah melalui campur tangan politik yang melarat sejak bertahun-tahun lalu di bawah pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zul Fikri Zamir berkata, terdapat tiga contoh di bawah kepemimpinan Maszlee dalam membangunkan Kementerian Pendidikan.

Jelasnya, menubuhkan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilihan Naib Canselor Universiti pada September 2018 yang diberikan peranan mencari calon-calon terbaik Naib Canselor untuk ditempatkan dalam sistem pendidikan tinggi awam negara.

Seterusnya kata beliau, Jawatankuasa Integriti Akademik diwujudkan hujung tahun lalu bagi menerima aduan dan menyiasat kes-kes salah laku yang melibatkan institusi pendidikan tinggi negara.

“Maszlee berjaya memainkan peranan dalam usaha menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan cadangan untuk memansuhkan halangan terhadap kebebasan akademik di bawah Akta 605,” katanya.

Mariam dalam tulisannya di bahagian pandangan dalam Malaysiakini berkata, Maszlee telah membuktikan tiada perbezaan antara beliau dengan bekas Menteri Pendidikan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Adakah Maszlee sedar ramai ibu bapa Melayu tidak dapat melihat nilai pendidikan untuk anak-anak mereka? Ada yang menggalakkan anak-anak mereka untuk berhenti bersekolah, untuk membantu mereka menjalankan gerai makanan. Bagaimanakah Maszlee mencadangkan untuk menukar minda ibu bapa Melayu ini?” tulis Mariam dalam portal berita itu hari ini. - UTUSAN ONLINE