Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kuala Lumpur, Mohd. Zahir Shari berkata, bagaimanapun, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan pelaku sebenar masalah berkenaan.

“Tinjauan dan siasatan di lokasi aduan mendapati masalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk dan peniaga yang mengambil jalan mudah membuang sampah tanpa memikirkan kesannya terhadap orang awam dan persekitaran.

“Siasatan SWCorp juga mengesyaki sebuah premis yang beralamat di No.19 jalan berkenaan telah membuang sampah di kawasan tersebut dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia pada 27 Jun lalu berhubung isu pembuangan dan longgokan sampah haram di laluan jalan kaki berdekatan PPR Desa Tun Razak dan Loji Kumbahan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd, di sini.

Menurut Mohd. Zahir, kawasan tersebut merupakan kawasan industri yang mana konsesi Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) hanya menjalankan kerja-kerja pembersihan awam iaitu sapuan jalan, pembersihan longkang dan pemotongan rumput mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara perkhidmatan kutipan sisa pepejal di kawasan industri pula katanya perlu dilakukan oleh pengusaha industri dengan melantik kontraktor secara persendirian.

“Bagaimanapun demi kesejahteraan awam, SWCorp telah mengarahkan Alam Flora menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah tersebut bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk dan tindakan pembersihan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Mereka yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE