Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya telah mengesan pencemaran bau di muka sauk di ketiga-tiga loji rawatan air itu yang merekodkan bacaan 4 ton kira-kira pukul 2 petang tadi.

"Memandangkan insiden ini melibatkan henti tugas tiga loji utama dengan skala kawasan terjejas yang besar, Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah diaktifkan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebanyak 1,133 kawasan melibatkan lebih 1.6 juta penduduk di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual ekoran insiden ini.

Ujar Suhaimi, pihaknya telah memaklumkan insiden ini kepada Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta telah menghubungi Unit Bencana Negeri bagi membantu Air Selangor menangani situasi ini.

Katanya, kadar bau di muka sauk LRA SSP3 pada pukul 5 petang tadi mencatatkan bacaan bau ton sifar dan telah kembali beroperasi manakala LRA SSP1 dan SSP2 baharu sahaja mencatatkan ton sifar pada pukul 7 petang dan dalam proses pengoperasian semula.

"Disebabkan Air Selangor dan pihak berkuasa negeri masih tidak dapat mengesan punca pencemaran, insiden ini mungkin boleh berulang.

"Oleh yang demikian, kami tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan bekalan air buat masa ini. Ekoran insiden ini juga, perancangan bagi kerja-kerja pembaikan LRA SSP1 yang dijadualkan pada 23 Julai ini ditangguhkan," katanya. - UTUSAN ONLINE