Ujian yang dimulakan tepat pukul 7.30 petang hari Jumaat lalu akan berakhir pada pukul 7.30 petang esok (Isnin) merupakan saringan yang perlu dilalui sebelum lima daripada mereka dipilih untuk misi ke Kutub Selatan pada November ini.

Acara pelepasan Cabaran 72 Jam Snow World - AWETA tersebut mendapat perkenan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang mencemar duli melepaskan peserta baru-baru ini dalam persaingan merebut gelaran ‘Ratu Ais’.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Genting Malaysia Berhad, Tun Mohammed Hanif Omar dan Wirawati Negara, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang merupakan wanita Asia pertama merentasi Kutub Utara dan Selatan.

Menurut Sharifah Mazlina, selaku mentor kepada kesemua peserta yang terlibat inisiatif itu bertujuan mewujudkan golongan pelapis yang berdaya saing sebagai idola generasi muda hari ini dalam menempuh cabaran.

“Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh latihan sebelum pemilihan dilakukan bagi mereka yang layak dan acara 72 jam ini sebagai permulaan dalam memantau daya tahan peserta ketika berada pada suhu bawah negatif enam darjah celsius.

“Memandangkan semua yang hadir adalah mereka yang mempunyai tahap kecergasan yang optimum. Kami memantau ketahanan emosi peserta ketika berhadapan situasi getir termasuk keupayaan mewujudkan suasana kerja dalam pasukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE