Pameran anjuran Manhajj Brothers Sdn. Bhd. (Manhajj Brothers) kali ke-10 itu akan menampilkan lebih 49 artifak Rasulullah SAW, artifak para Sahabat RA serta artifak kerajaan Uthmaniah dan akan dibuka kepada orang ramai bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Pengarah Projek Pameran, Razali Bachik dalam satu kenyataan berkata, pameran itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat sendiri artifak yang turut menjadi rakaman sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.

“Antara artifak yang boleh dilihat ialah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam, pasir makam Rasulullah dan kunci makam tersebut.

“Artifak lain adalah pedang Muaz bin Jabal, pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan kunci Makam Saiditina Fatimah.

“Turut dipamerkan artifak peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran Emas kiswah Kaabah, Kiswah Pintu Taubat yang mana semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arabah seperti Mekah dan Madinah serta negara Yemen dan Turki,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya, pameran tersebut bermatlamat untuk memberi pendidikan, sumber inspirasi dan pengetahuan kepada pengunjung mengenai kegemilangan tamadun Islam.

Ujar Razali, tiket masuk bagi dewasa hanya RM20, mahasiswa (RM10) dan kanak-kanak (RM5).

“Lebih menarik pameran ini menawarkan cabutan bertuah apabila pengunjung boleh membawa pulang hadiah utama iaitu motosikal Yamaha Y15.

“Cabutan itu diadakan menerusi peraduan ‘Ride To Y-Suku’ yang mana pengunjung hanya perlu mengambil gambar di Manhajj Photobooth Rasmi berharga RM15 dan melayakkan mereka mendapat satu nombor bertuah,” katanya. - UTUSAN ONLINE