Penasihat projek NQCC, Datuk Hassan Saad berkata, program peringkat antarabangsa itu diilhamkan bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, khususnya dalam melestarikan kebudayaan, kesenian serta adat resam dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, Asia’s Kids Star akan mengetengahkan bakat 120 kanak-kanak dalam pelbagai cabang seni serta budaya warisan negara melalui pertandingan tarian, nyanyian, lukisan, fesyen, permainan muzik tradisional serta seni kraftangan.

"Program ini turut menyasarkan penyertaan peserta dari beberapa negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, dan Indonesia.

"Usaha ini sekali gus dapat menyemarakkan serta menerapkan pembudayaan dalam kalangan kanak-kanak ke arah penyatuan, perpaduan dan pembinaan modal insan tanpa sempadan umur, agama serta bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majis Pra Pelancaran Asia’s Kids Star yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Muna Najiah Almarhum Sultan Iskandar al-Haj, di sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi Eksekutif NQCC, Mazlan Goh Ahmad Goh.

Mengulas lanjut Hassan berkata, Asia's Kids Star bermula di peringkat saringan yang mana pertandingan itu akan diadakan selama tiga hari bermula 23 Ogos ini.

Katanya, kanak-kanak dipelawa menyertai pertandingan itu dan mereka yang berminat boleh terus hadir ke Bilik Auditorium NQCC, Infinite Center, Jalan 13/6, Petaling Jaya Selangor.

"Peringkat saringan ini bertujuan mencungkil serta memilih bakat tempatan dalam kalangan kanak-kanak yang akan mewakili negara dalam peringkat akhir Asia’s Kids Star pada 5 Oktober.

"Program ini terbuka kepada semua kanak-kanak berumur tiga hingga 16 tahun tanpa mengira latar belakang kaum dan agama dengan yuran penyertaaan sebanyak RM50 akan dikenakan.

"Pemenang bagi setiap kategori ini juga akan bersaing merebut trofi, hadiah menarik, pakej percutian dan wang tunai," katanya. - UTUSAN ONLINE