Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pelantikan itu berkuat kuasa 1 September depan bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat.

Kata beliau, Zukri menamatkan kontrak perkhidmatan lebih awal atas faktor kesihatan setelah menyumbang selama setahun di Tabung Haji.

“Zukri telah dilantik memegang dua jawatan itu pada 10 Julai 2018 dengan misi memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji dan dalam tempoh singkat beliau berjaya melaksanakannya.

“Sumbangan dan panduan yang telah diberikan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya kini telah meletakkan Tabung Haji pada kedudukan kewangan yang lebih stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, Nik Mohd. Hasyudeen berkelulusan Sarjana Perniagaan dari Curtin University of Technology, Australia dan pernah menyertai Program Lanjutan Pengurusan Perniagaan, IMD International Switzerland.

“Beliau merupakan Felo di CPA Australia dan ahli di Institut Akauntan Malaysia (MIA) selain menjadi ahli lembaga pengarah kepada beberapa syarikat antaranya Cagamas Holdings Berhad dan Al Hijrah Media Corporation,” katanya. - UTUSAN ONLINE