NCIA dalam kenyataannya berkata, Perdana Menteri membuat kenyataan tersebut semasa mesyuarat kali ke-20 selain mengumumkan pelantikan Datuk Seri Jebasingam Issace John sebagai ketua eksekutif (CEO) NCIA yang baharu.

Issace John sebelum ini merupakan CEO Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Menurut NCIA, pihaknya akan terus menerajui pembangunan sosioekonomi di wilayah utara melalui projek strategik berimpak tinggi yang akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat.

Katanya lagi, beliau mahu kesemua projek pembangunan strategik berimpak tinggi utama itu diteruskan di negeri yang terletak di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Antara projek utama tersebut ialah Taman Sains dan Teknologi Kedah; Zon Ekonomi Sempadan Khas dan Bandar Getah Kedah serta kemudahan pelancongan di Bukit Larut, Pusat Benih di Sauk dan pembangunan menyeluruh di kawasan selatan Perak.

Tambah NCIA, usaha itu juga merangkumi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Pelabuhan Darat Perlis dan Terminal Pengangkutan Kangar Sentral.

Bagi merancakkan agenda pelaksanaan pembangunan, NCIA akan menerajui Rangka Kerja Strategik NCER baharu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, peluang keusahawanan serta pendapatan tinggi rakyat.

Program dan usaha wilayah itu akan membuahkan hasil positif termasuk menarik pelaburan dalam sektor utama seperti pembuatan, pertanian moden dan perkhidmatan (perkhidmatan pelancongan, logistik dan perniagaan global) selain sektor strategik lain antaranya petrokimia dan aeroangkasa.

NCIA berkata, pihaknya menyasarkan pelaburan komited bernilai RM12 bilion pada 2019 dengan semuanya bersedia untuk menarik pelabur ke wilayah berkenaan terutama dalam bidang yang telah dikenal pasti sebagai kurang dibangunkan.

Selain projek infrastruktur, Program Peningkatan Bakat NCER juga akan dilancarkan bagi menangani pengangguran dalam kalangan siswazah tempatan serta memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran adalah mencukupi seperti kehendak industri dan pelabur. - BERNAMA