mysalam grafik

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, skim berkenaan juga memberikan pendedahan kepada rakyat Malaysia untuk memahami konsep takaful ke arah membina rangkaian pelindungan sosial yang lebih baik.

Beliau berkata, rata-rata rakyat Malaysia, khususnya daripada kumpulan B40, tidak berkemampuan dan kurang mempunyai kesedaran untuk mengambil skim pelindungan takaful, khususnya dalam pe­ngurusan kewangan.

“Sehubungan itu, mySalam merupakan satu pendekatan strategik untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada kumpulan kurang mampu untuk menyertai skim takaful kesihatan di masa akan datang.

“Menerusi bayaran sekali gus (one-off) sebanyak RM8,000 bagi mereka yang disahkan menghadapi satu daripada 36 penyakit kritikal dan penyediaan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh 14 hari maksimum akan memberikan satu keyakinan kepada masyarakat akan kepentingan skim takaful sosial dalam mengurangkan beban kewangan semasa mereka uzur,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Mohd. Shafiq berkata, bantuan kewangan amat bermakna untuk meringankan beban kehidupan kumpulan berpendapatan rendah.

“Walaupun kerajaan memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada kumpulan berpendapatan rendah, namun kadangkala beban kos perjalanan ke hospital dan fasiliti-fasiliti kesihataan kerajaan yang lain menyukarkan mereka untuk mendapatkan rawatan.

“Jesturu itu, bantuan kewangan skim mySalam boleh membantu,” kata beliau.

Ujar beliau lagi, kerajaan amat prihatin dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada semua rakyat.

“Namun begitu, kos perkhidmatan kesihatan memerlukan bajet yang tinggi. Peruntukan Kementerian Kesihatan untuk tahun ini sahaja adalah RM29 bilion yang merupakan kedua tertinggi selepas bajet Kementerian Pendidikan,” kata Mohd. Shafiq.

Katanya, kos yang tinggi tersebut adalah untuk membiayai pembinaan dan penyelenggaraan hospital serta fasiliti-fasiliti kesihatan kerajaan yang lain, pembelian ubat-ubatan, bayaran emolumen anggota perkhidmatan kesihatan dan pelbagai program pencegahan penyakit.

Selain itu, keperluan bajet yang tinggi tersebut juga adalah untuk menampung perbelanjaan pembiayaan emolumen bagi anggota-anggota perkhidmatan kesihatan yang merupakan tulang belakang perkhidmatan tersebut, kata beliau.

“Rakyat harus memahami bahawa penjagaan kesihatan tidak hanya melibatkan ubat-ubatan sahaja tetapi juga bergantung kepada kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh anggota-anggota perkhidmatan kesihatan dalam merawat pesakit,” kata beliau.

Peruntukan yang besar tersebut adalah bagi menjamin kebolehcapaian (accessibility) dan kualiti penjagaan kesihatan kepada rakyat sehingga baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberikan pengiktirafan kepada Malaysia dalam pengurusan kesihatan yang cekap dan berkesan.

“Dalam jangka masa panjang, bagi mengurangkan kos rawatan, rakyat harus mengambil tanggungjawab dan tindakan bagi mengurus kesihatan diri yang lebih baik, khususnya dengan mengamalkan gaya hidup sihat,” tambah beliau lagi.