Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pemba­ngunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, jumlah itu termasuk menaik taraf menara sedia ada yang tidak mampu menampung keperluan tinggi daripada pengguna pada masa kini.

Menurutnya, liputan internet dan telefon yang berkualiti adalah perkara penting untuk diberi perhatian oleh kerajaan negeri sejajar perkembangan pesat bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

“Sehubungan itu, kerajaan ne­geri melalui Melaka ICT Hol­dings Sdn. Bhd. (MICTH) telah me­lantik sebanyak 15 kontraktor berdaftar yang akan membantu melaksanakan hasrat menyediakan kemudahan serta infrastruktur telekomunikasi tersebut.

“Pelantikan barisan kontraktor ini diharap dapat membantu MICTH mencapai sasaran membina 100 menara telekomunikasi tahun depan dengan anggaran 20 menara baharu setiap bulan bagi menampung permintaan pengguna dan syarikat telekomunikasi,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Zulkiply Harun; Ketua ICT negeri, Datuk Wahilman Siwar dan Ketua Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zon Selatan, Roszeta Kassim.

Chee Yee berkata, sehingga kini Melaka mempunyai seba­nyak 238 unit menara telekomunikasi yang dimiliki MICTH selain 260 menara lagi yang dibina pihak lain.

Katanya, mengikut kajian serta trend keperluan tinggi capaian internet dan telefon pada masa kini, Melaka memerlukan antara 100 hingga 120 menara baharu setiap tahun.

“Pada 2015, kita hanya berjaya membina sebanyak 28 menara telekomunikasi diikuti 30 menara masing-masing pada 2016 dan 2017. Tahun ini pula dari Januari sehingga hari ini, MICTH telah berjaya melonjakkan jumlah menara baharu itu kepada 54 buah.

“Ini merupakan perkemba­ngan positif di negeri ini dan bukti kerajaan negeri sangat komi­ted dan bersungguh-sungguh untuk menyediakan perkhid­matan terbaik demi memenuhi permin­taan rakyat,” ujarnya.

Selain itu tambahnya, Melaka juga merupakan negeri pertama yang memperkenalkan kod QR di menara-menara baharu yang dibina bagi memudahkan komunikasi dengan penduduk sekitar.

“Dengan mengimbas kod ter­sebut, orang ramai yang bimbang de­ngan pelbagai risiko se­perti pencemaran radiasi boleh memeriksa sendiri kadar pencemaran itu di telefon bimbit ma­sing-masing selain beberapa maklumat penting lain,” tambahnya.