Menurut satu kaji selidik terbaharu, industri vape global dijangka tumbuh pesat menjadi AS$53.4 bilion menjelang 2024 dengan empat elemen menjadi teras kepada perluasan industri vape di Malaysia.

Empat elemen tersebut ialah penjualan di pasar raya dan kedai serbaneka; secara dalam talian; kedai-kedai khusus vape dan tobacconists iaitu kedai menjual semua jenis produk rokok termasuk cerut dan paip.

Difahamkan, faktor lain Malaysia menjadi sasaran industri vape global ialah keupayaan industri vape tempatan menghasilkan adunan cecair vape buatan Malaysia yang kini dieksport ke Eropah, Amerika Syarikat dan Asia.

Menurut VaporizerWire.com, Malaysia berada di tangga kelima di bawah Amerika Syarikat, Filipina, United Kingdom dan Ireland di dalam senarai tujuh negara teratas paling popular penggunaan vape.

Anggaran industri menyatakan wujud trend menunjukkan permintaan terhadap vape semakin meningkat dan penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi dua kali ganda dari tempoh 2016 hingga 2018.

Anggaran kasar pertambahan pengguna vape ialah dari lima peratus telah melonjak kepada 23 peratus dalam tempoh setahun.

Peningkatan ini turut didorong oleh inovasi alat vape itu yang asalnya berupa dapur di mana pengguna harus mengadun cecair dengan nikotin sendiri yang bersaiz besar, menjadi sekecil pen dengan cecair dibekalkan dalam bentuk kiub kecil yang mudah digunakan, dipegang dan disorok.

Berdasarkan anggaran peniaga vape yang membentuk persatuan penjual vape, industri ini bernilai RM2 bilion walaupun dari mana dan kaedah apa diguna untuk mereka rumuskan angka tersebut tidak diketahui.

Menggunakan promosi yang mendakwa vape adalah kaedah terbaik menghentikan tabiat merokok, penularan vape sejak 2012, kini dianggarkan ada lebih sejuta pengguna vape.

Terdapat lima faktor pendorong populariti vape iaitu perisa cecair yang pelbagai se­perti anggur, limau malah kopi; mudah disorok; tidak mahal; boleh diperoleh di mana sahaja termasuk menerusi internet dan asap tidak berbau seperti rokok.

Pemasaran sofistikated

Ketiadaan penguatkuasaan juga menyaksikan peniaga-peniaga vape mengambil kesempatan sepenuhnya daripada kecelaruan undang-undang pengawalan di Malaysia, dengan mengadakan promosi di kelab eksklusif, membuka butik khusus vape di bandar-bandar dan membanjiri semua jenis perniagaan terutama pasar malam.

Apa yang pasti lebih 600 kedai khusus vape telah dibina di seluruh negara setakat ini, ada yang dihias cukup menarik dengan lantai panel papan seolah-olah memasuki kedai eksklusif dan berprestij.

Bulan lalu, sebuah jenama vape dari China mengadakan majlis pelancaran penuh warna-warni di sebuah kelab malam di ibu negara, yang memberi persepsi vape adalah alat rokok bagi golongan elit, selain disasarkan kepada kelompok pengunjung kelab malam.

Undang-undang

Isu vape meletus semula baru-baru ini apabila didapati vape diguna secara bebas oleh pelajar sekolah.

Kerajaan mengaku kawalan vape dibuat secara berasingan membabitkan dua kementerian iaitu lesen penjualan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), manakala kandungan vape di bawah Kementerian Kesihatan.

“Jika kandungan vape itu mengandungi nikotin ia tertakluk di bawah Akta Racun 1952. Rang-rang undang-undang itu masih diperingkat kajian dan kita berharap dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini sebelum dibawa ke Parlimen,” kata Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Akta Racun 1952

Bagi pemerhati industri, pendirian kerajaan itu menunjukkan ‘kekeliruan tahap tinggi’ kerana kawal selia produk vape ini sememangnya sudah ada di dalam undang-undang negara iaitu Akta Racun 1952, iaitu semua produk nikotin adalah tertakluk di bawah akta ini.

Mengikut akta ini, sesiapa yang menjual produk nikotin haruslah memohon lesen daripada Kementerian Kesihatan, termasuk produk vape. Persoalannya, berapakah lesen seum­pamanya telah dikeluarkan?

Jika mengikut undang-undang sedia ada ini, produk vape hanya boleh dijual di kedai farmasi kerana kandungan vape adalah cecair nikotin.

Tinjauan Utusan Malaysia ke atas sebilangan kedai khusus jualan vape, hanya menggunakan lesen am perniagaan oleh KPDNHEP tetapi tanpa lesen Kementerian Kesihatan untuk menjual produk vape tersebut.

Semua penjual yang ditanya pun mengaku tidak tahu menahu keperluan memohon lesen mengikut Akta Racun tersebut.

Ketika hasrat kerajaan mahu mewujudkan akta baharu yang menyeluruh wajar diterima positif, ia tidak memberi sebarang makna jika aspek penguatkuasaan tidak diberi penekanan.