Darell Leiking

Beliau berkata pada tahun lepas, Malaysia mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM998 bilion, kira-kira kurang 0.2 peratus untuk melepasi ambang RM1 trilion.

“Bagaimanapun pada tahun ini, kami yakin untuk mencatatkan pertumbuhan eksport sebanyak 3.4 peratus dan diharap kami dapat mencapai sasaran tersebut (RM1 trilion),” katanya kepada pemberita di luar Beyond Paradigm Summit di sini hari ini.

Kenyataan beliau itu sejajar dengan keyakinan yang dinyatakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) semalam bahawa jumlah eksport negara boleh melepasi paras RM1 trilion pada tahun ini berikutan pemangkin dan prospek ekonomi yang positif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Latiff Wan Musa berkata dalam tempoh Januari hingga Mei lepas, jumlah eksport Malaysia sebanyak RM405.36 bilion, meningkat 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Darell berkata Malaysia mempunyai pelbagai jenis pasaran dan ciri-ciri unik itu telah menarik ramai pelabur untuk mewujudkan perniagaan mereka di sini.

Mengenai rundingan untuk mewujudkan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), beliau berkata negara-negara anggota telah selesai pusingan terkini perbincangan mereka di Australia baru-baru ini.

“Kami mencari persetujuan untuk alasan bagi memuktamadkannya untuk Malaysia dan sembilan negara-negara ASEAN yang lain serta enam negara dialog.

“Kami akan mengadakan mesyuarat hanya selepas minggu depan di Beijing, dan saya akan menghadirinya bagi pihak kerajaan, antaranya memberi hala tuju ASEAN yang lebih baik supaya diharap kami dapat memuktamadkannya pada akhir tahun ini,” katanya.

RCEP merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara-negara anggota ASEAN dan enam negara-negara Asia Pasifik, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Perjanjian perdagangan bebas itu dilancarkan secara rasminya di Sidang Kemuncak ASEAN 2012 di Kemboja.

RCEP mempunyai gabungan jumlah penduduk sebanyak 3.4 bilion dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai US$49.5 trilion atau 39 peratus daripada KDNK global.

Darell berkata sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional, ia berjaya menggugurkan beberapa perkara dalam rundingan RCEP tanpa menjejaskan kedaulatan negara. - BERNAMA